Min Homestay Camp (MHC) terletak di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. MHC dimiliki oleh Kak Yah (bekas staf HUSM) dan suaminya (bekas guru), diberi nama bersempena dengan nama anak istimewa mereka, Min. Tempat ini telah diiktiraf oleh Kementerian Pelancongan, dengan tema dan konsep hijau. Dengan konsep yang sedemikian, sudah semestinyalah persekitarannya dipenuhi dengan flora dan fauna yang sangat menyamankan. Secara peribadi, persekitarannya yang semula jadi memberikan ketenangan kepada jiwaku.
Rentangan alu-aluan ke MHC
Pejabat dan reception MHC
Di sini, terdapat tanaman pelbagai herba, taman lebah dan taman kelip-kelip. Selain itu, terdapat pelbagai haiwan peliharaan lain juga, yang boleh menjadi tarikan para pengunjung. Aku dimaklumkan di sini selalu diadakan program, terutamanya program motivasi bagi murid-murid sekolah. Terdapat sebuah dewan terbuka dengan persekitaran yang nyaman (tiada gambar pulak!). Tempat ini juga menjadi kunjungan pengunjung dari dalam dan luar negara, terutamanya kunjungan itu berkaitan dengan madu kelulut.
Gegantung alu-aluan ke Taman Kelip-kelip
Jaket keselamatan perlu untuk ke Taman Kelip-kelip
Rentangan di gerbang ke Taman Kelip-kelip
Taman Lebah Apis dengan flora persekitarannya
Taman Lebah Kelulut dengan flora persekitarannya
Di sini, disediakan tempat penginapan, dengan pelbagai nama, bagi para pengunjung dan peserta program. Dengan kemurahan hati Kak Yah, di sinilah aku dan keluarga menginap semasa aku menjalani rawatan di HUSM, dan kami amat selesa duduk di sini. Terdapat pelbagai jenis bilik yang disediakan, yang merangkumi kediaman satu bilik, dua bilik dan tiga bilik, dengan nama-nama tertentu. Aku mendapati bilik-bilik ini kebanyakannya berangkai.
Nama-nama bilik
Kebanyakan kediaman itu diperbuat daripada konkrit. Akan tetapi, terdapat satu kediaman rumah papan, dinamai Balai Pengantin. Mungkin kediaman ini istimewa untuk mereka yang hendak berbulan madu dengan suasana alam semula jadi. Memang aku dimaklumkan, ada juga majlis perkahwinan dibuat di sini.
Kediaman rumah papan, Balai Pengantin
Di keseluruhan kawasan MHC, aku sangat tertarik dengan cara persembahan papan tanda dan persekitarannya. Dan lagi, seperkara yang menarik perhatianku ialah bangunan suraunya yang sangat menarik; pondok tempat bersolat ...
Papan tanda yang menarik
Pondok tempat solat
Di dalam pondok tempat solat
Sturktur ini juga sangat menarik perhatianku
Yang mencuit hatiku ialah melihat yang ini ...
Hahaha ...
Memang benar! Apabila malam menjelma, beberapa ekor ayam katik berwarna putih itu akan datang bertenggek di sini untuk tidur. Sesungguhnya, melihat persekitaran MHC sangat menenangkan, tambahan kedudukannya di tepi sungai. Pemiliknya telah menyediakan pelantar dan pangkalan bot dengan rumah bot bagi mereka yang hendak memancing. Bot disediakan bagi pengunjung untuk memancing atau pergi ke Taman Kelip-kelip atau saja-saja nak meneroka persekitaran sungai. Aku sendiri pun tak pernah lagi naik bot tu, hehe ...
Gerbang menghala ke sungai
Tangga dan jambatan menghala ke rumah bot dan sungai
Jambatan menghala ke rumah bot dan sungai
Suasana persekitaran tempat parking bot, dilihat dari tebing
Tempat parking bot
Pelantar
Pemandangan persekitaran sungai dari pelantar
Episod memberi burung dan ayam makan; seronok!
Ayam katik jantan yang sangat cantik, dan yang betina sedang mengeram
Aku leka melihat ayam-ayam yang berkeliaran di kawasan yang nyaman itu
Ibu ayam mengeram
Burung merpati, dan terdapat juga angsa
Seekor burung hantu yang dibela di dalam sangkar
Meong, yang menjadi temanku selepas aku menjalani pembedahan dahulu
Selain daripada haiwan-haiwan itu, terdapat juga seekor ular sawa yang dibela oleh pemilik MHC (tak ada gambarlah pulak!). Sebenarnya, MHC lebih terkenal dengan penternakan kelulut dan penghasilan madu kelulut. Selama ini, kita banyak mendengar orang menternak dan menghasilkan madu lebah. Akan tetapi, di sini sungguh menakjubkan kerana persekitaran MHC penuh dengan rumah kelulut. Menurut Kak Yah, lebih daripada 20 koloni kelulut terdapat di MHC. Apabila masuk sahaja di kawasan MHC, kita akan disambut dengan Istana Kelulut dan Muzium Kelulut ...
Istana Kelulut
Di persekitaran MHC terdapat pelbagai rupa bentuk rumah kelulut, disusun dengan pelbagai cara, dengan floranya tersendiri ...
Pelbagai cara dan susunan rumah kelulut
Khazanah kelulut terdapat di dalam sebuah rumah papan yang dijadikan muzium kelulut ...
Muzium kelulut
Makanan kelulut (buah manggis) di hadapan Muzium kelulut
Menurut Kak Yah, makanan kelulut adalah mengikut musim buah ketika itu. Kebetulan masa aku di sana, buah manggis yang banyak, maka buah manggislah jadi makanan kelulut itu. Melangkah masuk ke dalam muzium, hampir keseluruhan ruang dipenuhi dengan bahan pameran yang berkaitan dengan kelulut, terutamanya madu kelulut daripada pelbagai jenis flora makanan kelulut ...
Pelbagai jenis madu kelulut yang dipamerkan
Propilis juga dipamerkan |
Selain itu, aku tertanya-tanya melihat pelbagai bentuk struktur yang dipamerkan di muzium ini. Oh, ingatkan apa, rupa-ruapnya pelbagai jenis rupa bentuk pintu masuk kelulut ke dalam sarangnya. Hai, kelulut pun ada pelbagai rupa bentuk pintu masuk ke rumahnya. Aku berasa sangat takjub ...
Pelbagai rupa bentuk pintu masuk kelulut ke dalam sarangnya
Di dalam muzium ini terdapat juga rujukan yang berkaitan dengan kelulut ...
Dokumen rujukan
Dari segi pengiktirafan pula, MHC telah memperoleh pelbagai pengiktirafan dan anugerah yang semestinya menjadi kebanggaan pemiliknya. Tahniah Kak Yah dan suami, saya tumpang bangga ...
Dokumen pengiktirafan ...
Setelah puas melihat apa yang ada di dalam muzium, kami duduk berbual-bual di ruang tamu muzium. Aku sangat bangga dengan pencapaian Kak Yah di sini, bermula dengan minat selepas bersara. Sesungguhnya, aku tumpang seronok dan gembira. Aku menyarankan beliau dapat menulis buku-buku yang berkaitan dengan kelulut. Aku tidak keberatan untuk membantu Kak Yah menulis buku yang berkaitan dengan kelulut apabila beliau telah bersedia untuk menulis nanti. Setakat ini, aku tidak pernah menjumpai buku-buku yang berkaitan dengan kelulut (mungkin ada, cuma aku tak pernah tengok). Penutupnya, kami diberi merasai beberapa jenis madu kelulut. Kami juga dipelawa untuk merasai bee bread, tapi aku tak sanggup! Wati jer yang cuba rasa.
Berbual dan berbincang dengan pemilik yang ku kagumi,
Kak Yah dan suami
Alhamdulillah ... Terima kasih kepada Prof. Nik Hazlina dan PM Dr. Hasanah yang telah memberi ruang dan peluang kepadaku bertemu Kak Yah dan suami; seterusnya mengenali MHC. Aku amat bersyukur dapat mengenali Kak Yah dan suami, yang membolehkan aku dan keluarga dapat menginap di MHC semasa menjalani rawatan (terapi semula jadi buatku selepas menjalani rawatan dan menjadi tempat berehat yang sangat menenangkan dan menyenangkan). Dan lagi, yang paling berharga buatku dan keluarga ialah kami bertuah kerana Kak Yah dan suami tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman mereka. Doaku agar Kak Yah dan suami akan terus maju. Apabila Kak Yah dan suami berada di puncak, jangan lupakan saya dan keluarga saya di bawah ni ye! hehe ...
No comments:
Post a Comment